Mengenai SKSL

LATAR BELAKANG SEKOLAH

SK Sungai Lesong (SKSL) ditubuhkan pada tahun 1950. Pada masa kini, sekolah ini mempunyai tiga blok utama yang menempatkan kelas, bilik guru, bilik khas dan pejabat pentadbiran. Selain itu, sekolah ini turut dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer, bilik pemulihan, bilik prasekolah dan kantin. Bilangan guru yang berkhidmat di sekolah ini ialah seramai 32 orang, manakala kakitangan sokongan pula berjumlah 6 orang. Sementara itu, bilangan murid yang berdaftar di sekolah ini ialah lebih kurang 350 orang. 

Bersesuaian dengan usianya yang kini menjangkau 63 tahun, pelbagai cabaran dan rintangan yang telah dilalui oleh sekolah ini. Hasil komitmen yang jitu daripada barisan pentadbir, para guru dan staf sokongan yang terdahulu dan terkini, SKSL telah berjaya mengharungi segala cabaran dengan jayanya. Nama SKSL juga semakin harum dan dikenali atas beberapa kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Dalam bidang akademik, SKSL telah berjaya mencatatkan kejayaan bersejarah pada tahun 2012 apabila menduduki tempat ke-2 terbaik keseluruhan keputusan UPSR 2012 bagi sekolah-sekolah Daerah Batang Padang. Manakala, dalam bidang kokurikulum pula, SKSL pernah menggondol gelaran juara Daerah Batang Padang bagi permainan kriket selama 4 tahun berturut-turut dari tahun 2009 - 2012. SKSL turut menempatkan diri sebagai juara daerah bagi permainan boling dan olahraga serta juara kelompok untuk permainan bola sepak dan bola jaring bagi tahun 2013.

Segala kejayaan yang diraih tersebut tidak akan dicapai tanpa komitmen yang padu daripada semua warga SKSL. Bertepatan dengan slogan "SKSL Di Hati", maka rasa kecintaan yang mendalam terhadap sekolah mendorong setiap warga sekolah untuk sanggup berkorban tenaga dan waktu demi menaikkan imej sekolah. Semoga SKSL akan terus berjaya pada masa-masa akan datang.   


LOGO SEKOLAH

Maksud logo sekolah:
  • Warna Kuning - warna diraja
  • Warna Hijau - ketenangan menuntut ilmu dan kehidupan di dunia dan akhirat
  • Warna Merah - keberanian dan kecekalan
  • Bunga Padi - berusaha mencapai setiap impian tanpa perasaan megah dan sombong umpama padi yang semakin berisi semakin tunduk
  • Obor - menerangi kehidupan diri, keluarga dan masyarakat
  • Buku - ilmu teras kehidupan
  • Bunga raya - bunga kebangsaan dan menunjukkan ketaatan kepada raja, agama dan bangsa
  • Motto - Ilmu suluh hidup

LAGU SEKOLAH
SK Sungai Lesong
Lambang kejayaan
Kreatif dan inovatif
Bersepadu mendidik insan

Guru pendukung ilmu
Belajar serta bersukan
Panduan saingan hidup
Teras kejayaan

Berdisiplin serta berilmu
Beramal serta terus maju
Berjasa untuk negara
Wawasan matlamat bangsa

Guru pendukung ilmu
Belajar serta bersukan
Panduan saingan hidup
Teras kejayaan

No comments:

Post a Comment